Oleh Melati Mohd Ariff
KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) — "Kita akan mewariskan dunia yang amat panas kepada anak, cucu dan cicit kita."
Ini adalah antara intipati perbualan Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah, ketua Jabatan Geografi, Universiti Malaya dengan Bernama di sini baru-baru ini.
Dalam wawancara tersebut, Prof Azizan membincangkan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini yang bertemakan "Perubahan Iklim."
Sebagai profesor meteorologi dan mengajar bidang alam sekitar, bicara Prof Azizan dibayangi rasa penuh kebimbangan.
Namun, berapa ramaikah rakyat Malaysia akan berasa cemas dengan kenyataan yang dibuatnya serta laporan semasa mengenai pemanasan global atau peningkatan suhu bumi?
Jawapannya "tak ramai" jika mengambil kira pandangan Prof Azizan bahawa, atas skala 10, kesedaran rakyat Malaysia mengenai pemanasan global hanya sekitar tiga atau empat — satu penunjuk nyata bahawa rakyat Malaysia rata-rata tidak memberi perhatian berat kepada isu-isu alam sekitar.
BUMI SEMAKIN PANAS
Di peringkat global, suhu bumi telah meningkat sebanyak kira-kira dua darjah dan kenaikan ini berbeza dari satu rantau ke satu rantau yang lain. Kawasan Artik umpamanya semakin menjadi panas pada kadar yang lebih pantas berbanding bahagian lain dunia.
Bagaimanapun, rekod serta pengawasan saintifik menunjukkan bahawa bukan sahaja bumi semakin panas tetapi hakikatnya perubahan tersebut berpunca daripada perbuatan manusia sendiri.
"Ahli sains kini pasti dan amat yakin bahawa 98 peratus pemanasan global yang kita alami sekarang berpunca daripada pelepasan karbon dioksida akibat pembakaran bahan bakar fosil yang telah dilakukan sejak abad ke-18.
"Sekarang kita ada dua masalah. Apabila tahap karbon dioksida meningkat, kesan rumah hijau menjadi lebih kuat dan ini akan meningkatkan suhu.
"Apabila suhu meningkat, bumi akan bertindak kepada peningkatan suhu yang akan membawa kepada perubahan iklim," jelas Prof Azizan yang membuat ulasan berdasarkan Laporan Penilaian Keempat (Perubahan Iklim 2007) Panel Antara Kerajaan Perubahan Iklim (IPCC).
IPCC merupakan badan peneraju penilaian perubahan iklim, ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memberi pandangan yang lebih jelas dan seimbang mengenai keadaan pemahaman perubahan iklim dewasa ini.
Ditubuhkan pada 1988 oleh Pertubuhan Meteorologi Dunia serta Program Alam Sekitar PBB, kegiatan terasnya adalah menyemak dan menilai maklumat saintifik, teknikal dan sosio-ekonomi yang terkini.
Laporan 1 (1990) dan 2 (1995) IPCC menggambarkan banyak ketidakpastian dan kebanyakannya adalah negatif, maknanya menjejaskan manusia atau tamadunnya.
Laporan ketiga (2001) berkisar kepada "Menangani Perubahan Iklim."
KETAGIHAN BAHAN BAKAR FOSIL
"Iklim tidak statik tetapi perubahan yang kita alami sekarang berlaku pada kadar yang amat pantas. Kitaran bumi untuk perbezaan iklim yang paling pendek ialah 10,000 tahun tetapi sekarang yang dibincangkan ialah kira-kira 100 tahun, jarak hanya 2 generasi sahaja.
"Persoalannya sekarang ialah sama ada kita masih berpegang kepada ketagihan bahan bakar fosil. Sejak abad ke-18 apabila kita bertukar kepada bahan bakar fosil daripada sumber asas air atau kayu, dunia semakin ketagih kepada bahan bakar fosil. Seperti ketagihan lain, kita perlu keluar daripada ketagihan ini," ujar Prof Azizan.
Beliau beranggapan masyarakat negara ini secara umumnya tidak prihatin kepada isu karbon dioksida kerana mereka tidak dapat melihat impak gas tersebut memandangkan ianya tidak berbau dan bukan toksik.
Menurut Prof Azizan, konsentrasi karbon dioksida di atmosfera telah meningkat daripada kira-kira 280 bahagian sejuta (ppm) dicatat di kurun ke-18 (sebelum era revolusi perindustrian) kepada 379 ppm pada tahun 2005.
"Kita mungkin berhadapan dengan 700 ppm menjelang tahun 2099 sekiranya kita meneruskan cara hidup kita sekarang. Jika kita perhatikan planet lain seperti Marikh, suhunya kira-kira 400 darjah celcius dan 90 peratus daripada atmosferanya adalah karbon dioksida. Hampir tiada kehidupan di sana.
"Kita taklah seperti Marikh tetapi dijangkakan jika kita meneruskan apa yang kita lakukan sekarang dan tidak menangani tahap pelepasan karbon dioksida dengan mengurangkan pembakaran bahan bakar fosil, kita akan memberikan dunia yang amat panas untuk anak, cucu dan cicit kita," kata Prof Azizan dengan nada bimbang.
Beliau menambah IPCC telah mencadangkan supaya tahap karbon dioksida di atmosfera distabilkan kepada "paras yang boleh diuruskan iaitu 450 ppm".
KEBIMBANGAN ABAD KE-21
Menurut Prof Azizan, bumi mengalami suhu yang meningkat sejak tahun-tahun 90an.
Beliau memberikan contoh iklim panas melampau di Perancis, iklim lebih panas di rantau Siberia dan pencairan "permafrost (lapisan tanah yang kekal beku di rantau paling sejuk) terutamanya di rantau Artik.
"Tetapi apa yang paling serius, pada pandangan saya, ialah apa yang akan berlaku pada abad ke-21. Ahli sains meramalkan keseluruhan ais laut di Artik akan cair pada musim panas 2099.
"Litupan ais Greenland mungkin juga akan mencair. Satu lagi yang dijangka mengalami nasib yang sama tetapi buat masa ini tidak ada banyak bukti ialah litupan ais Antartika Barat. Jika itu pun cair, paras laut akan meningkat kira-kira 7 meter," kata Prof Azizan, nadanya bimbang.
Apakah langkah mengurangkan pembakaran bahan bakar fosil jawapan kepada menghentikan impak pemanasan global?
"Kalau pun kita mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil, tak banyak yang dapat kita lakukan untuk menukarkan keadaan. Untuk menghapuskan konsentrasi karbon dioksida di dalam atmosfera, ianya mengambil masa antara 200 atau 300 tahun," jelasnya, dengan menambah tentangan kepada langkah mengurangkan pembakaran bahan bakar fosil mungkin datang dari negara-negara yang sedang pesat membangun seperti China dan India.
Di samping bahan bakar fosil, perubahan penggunaan tanah, katanya menyumbang kepada kira-kira 30 peratus pelepasan karbon dioksida.
IMPAK SELURUH DUNIA
Di negara ini, meskipun Malaysia bukan penyumbang utama pelepasan karbon dioksida, kita juga perlu mula memikirkan apa yang sedang berlaku di sekeliling kita. Ini adalah kerana kita tidak akan terlepas daripada bahana yang menimpa negara-negara lain!
Sebagai sebuah negara dan untuk kesinambungan hidup kita, wajar sekali kita melengkapkan ilmu dan peka dengan pesekitaran kita.
Seperti kata Prof Azizan, "Kita tidak boleh tinggal di dalam tempurung. Pemanasan global adalah ancaman global!"
Dengan ramalan peningkatan 7.0 meter paras laut, kawasan rendah seperti Kuala Muda (Kedah) dan Kelantan akan menerima impak teruk.
"Sebahagian besar kawasan-kawasan tersebut akan lenyap. Malahan monsun kita juga akan terjejas. Kita akan menerima lebih banyak hujan sewaktu monsun timur laut, yang bermakna lebih banyak kejadian banjir," jelasnya.
Prof Azizan mengakui masalah utama ialah bagaimana untuk mendapatkan perhatian masyarakat di negara ini.
Bagaimanapun, katanya masyarakat Malaysia perlu dididik bahawa apa yang berlaku di tempat lain akan mempunyai impak langsung ke atas negara ini.
"Tsunami 2004. Itu adalah pengajaran terbaik untuk kita. Banjir besar di Johor. Apa yang berlaku menunjukkan apa yang boleh dibuat oleh alam dan apabila alam tidak bertindak seperti yang kita fikir sepatutnya dilakukan kerana alam mempunyai mindanya sendiri," kata Prof Azizan, dengan menambah bahawa pendekatan yang betul perlu untuk mendidik masyarakat.
"Mendidik bukanlah untuk membuat mereka cemas," tambah beliau.
EKOSISTEM SEMAKIN TERTEKAN
Mengenai keadaan ekosistem dunia, Prof Azizan meluahkan keluhan dengan menyatakan sumber ekosistem yang ada telah digunakan ke paras maksimum dengan penangkapan ikan berlebihan dan pemupusan kawasan besar hutan.
"Persoalannya ialah pada kedudukan tamadun manusia dengan penduduk dunia kira-kira enam bilion, banyak sumber asli bumi sedang digunakan. Tak cukup dengan itu, kita cetuskan pula pemanasan global. Berapa banyak lagi tekanan yang boleh diterima oleh bumi?" soalnya.
Menurut Prof Azizan, satu perkara yang sedang hangat dibincangkan ialah kemungkinan pemupusan manusia.
"Ada pihak berkata bumi, jika suhunya dinaikkan ke tahap yang tertentu, ia dapat menyesuaikan dirinya tetapi apakah manusia dapat menyesuaikan diri kepada ekosistem yang berubah?
"Apakah manusia akan pupus? Ini boleh berlaku. Lihat apa yang terjadi kepada dinosaur," jelasnya lagi.
Di sebalik impak negatif pemanasan global, Prof Azizan berpendapat terdapat juga perkara yang positif termasuk lebih banyak peluang untuk tenaga alternatif.
Beliau memberi contoh tenaga nuklear dan solar sebagai alternatif yang berdaya maju.
"Malaysia perlu meneroka tenaga nuklear. Ini kita perlu pelajari sendiri. Korea telah melakukannya. Satu lagi pilihan ialah kuasa solar. Kita juga menerima banyak cahaya matahari, kira-kira 300 hingga 400 watt satu meter persegi.
"Walau apa pun, kita memerlukan iltizam yang kuat. Ini perlu dituntut oleh orang ramai. Sudah tentunya mereka boleh membuat tuntutan sekiranya mereka tahu isu dan bagaimana isu itu mendatangkan impak kepada mereka," tegas Prof Azizan.
– BERNAMA
Popularity: 19% [?]
No related posts.
Related posts brought to you by Yet Another Related Posts Plugin.



.gif)








Leave a Reply